Sunday, July 13, 2008

Perceraian di Kalangan Artis, Apakah Puncanya?


Baru-baru ini kita banyak dikejutkan dengan berita-berita perceraian di kalangan artis-artis malaysia. Walaupun berita ini tidak asing bagi kita, namun saya terfikir, mungkin ini hanya sebahagian kecil dari masalah yang berlaku dalam masyarakat; yang kita ketahui kerana mereka adalah artis yang mendapat publisiti.. sedangkan ramai lagi masyarakat luar sana yang berhadapan dengan masalah yang serupa, cuma tidak mendapat liputan meluas daripada media..

Apabila saya merenungkan hal ini, saya mencari-cari di manakah puncanya perceraian di kalangan pasangan-pasangan muda yang berkahwin atas pilihan sendiri, suka sama suka, cinta sama cinta ini.. apakah tekanan kehidupan hari ini banyak menjadikan manusia tidak rasional dalam menghadapi permasalahan-permasalahan hidup?

Sesungguhnya perceraian hanyalah satu jalan keluar daripada masalah yang tidak dapat diatasi lagi setelah usaha bersungguh-sungguh dilakukan.. perceraian adalah perkara halal yang amat dibenci oleh Allah.. sebaik-baiknya carilah penyelesaian yang terbaik sebelum membuat keputusan untuk bercerai..

Pasangan-pasangan muda hari ini kebanyakannya telah melalui tempoh yang panjang detik-detik percintaan, sebelum mengambil keputusan untuk berumah tangga.. walaupun begitu, nampaknya tempoh bertahun-tahun yang digunakan untuk mengenal hati budi bakal pasangan hidup itu belumlah menjamin kerukunan dan kesejahteraan rumah tangga.. mengapa begitu?



Pernikahan Datang Bersama Tanggungjawab..


Kerana rupa-rupanya alam percintaan yang indah itu tidak serupa sama sekali dengan alam berumah tangga. Alam percintaan penuh dengan keindahan, sedia menerima segala kekurangan bakal pasangan, sedia memaafkan segala kesalahan yang dilakukan. Tetapi, sebaik sahaja pernikahan berlangsung, cinta yang bersemi dan terpateri di hati bertukar menjadi tanggungjawab yang terbeban di bahu pasangan suami isteri.. Dan apa yang dapat dilihat hari ini, tidak ramai dari kalangan pasangan muda mampu untuk menggalas tanggungjawab ini, menyebabkan perkahwinan hanya bertahan sedetik cuma..

Mungkin masalahnya berpunca daripada beberapa faktor :

1- Ada masalah dalam hubungan kita dengan Allah. Ini kerana, sebagai manusia, kita seharunya memperbaiki hubungan kita dengan Allah, barulah hubungan kita sesama manusia akan menjadi lebih baik dan sempurna

2- Ilmu agama yang sepatutnya memacu perjalanan hidup berumah-tangga kurang diamalkan, begitu juga ilmu berumahtangga masih belum lengkap sepenuhnya

3- Kurang persediaan pasangan dari segi mental dan spiritual (rohani) dalam menghadapi segala macam rencam rumah tangga.

Apakah penyelesaiannya? di sini saya cadangkan beberapa penyelesaian yang dapat dikongsikan bersama :



Perkahwinan adalah Ibadah

1- Perkahwinan di dalam Islam adalah Ibadah. Maka apabila seseorang itu hendak berkahwin, betulkanlah niat di awal pernikahan iaitu bagi mendapatkan rahmat dan keberkatan daripada Allah. Apabila perkahwinan itu bermatlamat mencari keredhaan Allah, sekiranya berlaku sebarang masalah, pastinya kita tahu kepada siapa untuk mengadu dan untuk memohon pertolongan; iaitu hanyalah kepada Allah

2- Pilihlah pasangan yang betul, yang bertanggungjawab, yang memiliki nilai keimanan dan ketaqwaan yang tinggi kepada Allah agar dapat sentiasa membimbing ke arah kebahagiaan di dunia dan akhirat.. Kerana pasangan yang beriman ini, jika dia mencintai, dia akan menghormati, dan jika dia membenci, dia tidak akan berlaku kasar..

3- Pilihlah juga pasangan yang sekufu dari segi pemikiran, ilmu dan kehidupan agar tidak menimbulkan masalah pada masa hadapan..

4- Sentiasalah menjaga hubungan dengan Allah, dan mengamalkan segala perintahNya, meninggalkan segala larangannya.. Insya Allah, hubungan kita sesama manusia akan dipermudahkan Allah..

4- Sekiranya menghadapi masalah dalam rumahtangga, carilah jalan penyelesaian yang sebaik-baiknya. Jangan cepat melatah, jangan terpengaruh dengan rasa marah. Sentiasa berusaha, mencari penyelesaian, memohon pertolongan Allah dengan berdoa dan akhirnya bertawakkal dan serahkanlah segalanya kepada Allah.

5- Segala masalah hidup yang dihadapi merupakan ujian Allah, untuk kita menilai diri dan kehidupan.. Jika selama ini kita jauh dari Allah, dekatkanlah diri padaNya.. Jika kita merasa susah dalam hidup, ketahuilah bahawa Allah sentiasa ada bersama kita..

Sesungguhnya diri manusia ini milik Allah, hati-hati manusia ini juga milik Allah.. Jika kita berhadapan masalah dengan manusia, maka pohonlah pertolongan Allah agar memudahkan kita mencari jalan keluar dari permasalahan yang menimpa..

Kenali Allah ketika waktu senang, nescaya Allah akan mengenali kita di waktu kita menghadapi kesusahan..

Fikir-fikirkan..